Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : Program Madani Rakyat cipta gelombang luar biasa

Wartawan Sinar Harian II  27  FEBRUARI 2024

 
       

KUALA SELANGOR - Program Madani Rakyat (PMR) Zon Tengah menyaksikan gelombang luar biasa dengan kehadiran ribuan pengunjung sejak jam 9 pagi pada hari ketiga penganjurannya di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad.

 

Tinjauan Sinar Harian mendapati kesesakan lalu lintas berlaku di sekitar jalan memasuki kompleks itu dengan ruang parkir yang disediakan turut penuh sejam selepas acara bermula.

 

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Zurihanmi Zakariya berkata, jumlah kehadiran pengunjung ke PMR meningkat dan disifatkan di luar jangkaan.

 

“Kalau kita lihat pada hari pertama seramai 18,747 pengunjung hadir ke kompleks ini bagi memeriahkan pelbagai aktiviti disediakan.

 

 

“Pada Sabtu kita merekodkan 46,531 pengunjung dan pada hari ketiga sehingga jam 5 petang (Ahad), kita telah merekodkan kehadiran seramai 62,420 pengunjung,” katanya di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada Ahad.

 

Menurut Zurihanmi, jumlah pengunjung selama tiga hari program berlangsung mencecah seramai 127,698 orang, melebihi sasaran 100,000 pengunjung.

 

Jelas beliau, jumlah pengunjung meningkat pada Majlis Perasmian Penutup PMR yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

“Pada petang Ahad juga peminat bola sepak membanjiri kompleks sukan untuk mengikuti perlawanan persahabatan bola sepak antara pilihan MB (Menteri Besar) Selangor dan MB Perak,” katanya.

 

Jelas beliau, antara reruai yang mendapat sambutan di PMR Zon Tengah ialah Pavilion KPKM yang menerima kehadiran pengunjung sehingga 30,000 orang pada hari terakhir program tersebut.

 

Selain itu katanya, pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke reruai-reruai lain yang disediakan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan terlibat.

 

“Kita juga melihat sambutan menggalakkan diterima di kaunter bayaran saman yang dikendalikan oleh PDRM (Polis Diraja Malaysia).

 

“Orang ramai turut bersesak dan beratur panjang untuk mendapatkan topi keledar baharu di reruai yang dikendalikan oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan).

 

“Bagi Zon Tengah ini, ada sebanyak 34 unit reruai kementerian, agensi dan kerajaan negeri, 40 gerai jualan makanan dan 30 pengusaha agro serta barang basah disediakan,” katanya.

 

Mengulas mengenai aliran trafik di laluan masuk ke kompleks tersebut, Zurihanmi berkata, kesesakan terkawal dan tidak menyukarkan penduduk.

 

Ujar beliau, kerjasama baik daripada pelbagai pihak terutama polis, penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) melancarkan aliran lalu lintas.

 

“Tambahan pula, kita sediakan trem dan van di kawasan parkir untuk transit bagi memudahkan pengunjung-pengunjung, sekali gus mengurangkan kesesakan,” katanya.

 

Ditanya mengenai sambutan Jualan Agro dan Madani, Zurihanmi berkata, ia mencatatkan jualan melebihi RM500,000 sepanjang tiga hari penganjurannya.

 

Menurutnya, sudah pasti jualan beras putih 10 kilogram mendapat sambutan daripada pengunjung kerana ia dijual pada harga RM26 sekampit.

 

“Selain itu, beberapa barangan basah lain seperti ayam dan daging menjadi tumpuan pengunjung kerana ayam seberat 1 hingga 2 kilogram hanya dijual pada harga RM10, manakala daging segar RM30 sekilogram, selain produk buah-buahan tempatan yang kita tawarkan.

 

“Kita memperuntukkan sehingga 3,000 ekor ayam untuk dijual kepada pengunjung yang singgah di PMR Zon Tengah.

 

“Kita sentiasa menambah stok bagi membolehkan pengunjung yang datang tidak pulang dengan kecewa,” kata Zurihanmi.

 

Sementara itu, Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya berkata, jualan murah untuk mengimbangi kenaikan harga barangan seperti Jualan Rahmah atau Jualan Termurah Madani akan ditingkatkan pada masa akan datang.

 

Menurut Anwar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali telah diarahkan supaya memastikan jualan tersebut ditingkatkan melebihi daripada biasa.

 

Jelas beliau, selain program jualan, Agro Madani juga perlu ditingkatkan kerana jaringannya daripada KPKM dengan nelayan dan peladang begitu besar dan perlu dikurangkan permasalahannya untuk menurunkan harga barangan.

 

“Jadi, apa lagi masalah dibangkitkan oleh rakyat, kos sara hidup, barang makanan, ada langkah diambil bersungguh-sungguh oleh KPDN serta KPKM supaya ada usaha yang lebih daripada itu,” kata Anwar.

 

 

Diterbitkan pada 27 February, 2024 Diterbitkan Oleh Administrator