Laman Web Rasmi
PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGORcekap, telus dan mesra |
|
Wartawan Sinar Harian II 11 APRIL 2023
KUALA SELANGOR- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan penemuan bangkai buaya tembaga di Sungai Selangor, berhampiran Kampung Kuantan, di sini pada Sabtu.
Pengarahnya, Dennis Ten Choon Yung berkata, bangkai reptilia dengan berat kira-kira 500 hingga 600 kilogram itu belum dikenal pasti jantinanya ditemui terapung oleh penduduk kampung.
"Buaya tersebut dipercayai mati dalam tiga hingga empat hari berdasarkan kepada keadaan fizikalnya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Choon Yung berkata, ketika reptilia itu ditemui, keadaannya juga sudah kembung dan mula mereput dan bangkai itu kemudiannya ditarik naik ke darat oleh penduduk.
Beliau memberitahu, ketika ini pelupusan bangkai masih dijalankan.
Semalam, tular di laman Facebook memaparkan beberapa gambar bangkai seekor buaya terapung di Sungai Selangor.
Menerusi hantaran dimuat naik sebuah laman Facebook, buaya diberi nama 'Pak Itam' itu sering dilihat pemancing sekitar Sungai Selangor sejak berdekad lalu.
"Akhirnya Pak Itam pergi di bulan mulia (Ramadan). Selamat jalan Pak Itam, ramai pemancing kenal Pak Itam. Baik dan tidak pernah ganggu orang," jelasnya.
|