Wartawan Sinar Online II 01 JULAI 2021
KUALA SELANGOR - Penduduk di Kampung Kuantan, di sini gempar berikutan tular rakaman video menunjukkan seekor buaya timbul di permukaan Sungai Selangor di kampung berkenaan pada Selasa.
Sebuah laman Facebook yang memuat naik status itu memaklumkan, buaya itu ditemui pada petang Isnin.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan sungai di kampung itu memang terkenal dengan habitat buaya.
"Penduduk Kampung Kuantan juga mengetahui tentang kewujudan buaya di situ," katanya.
Justeru, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati di sekitar kawasan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
"Perhilitan akan menjalankan siasatan dan membuat pemantauan di kawasan berkenaan," katanya.
Sinar Harian pada 20 Februari tahun lalu pernah melaporkan mengenai tular gambar seekor buaya menyusuri sungai di kampung berkenaan di Facebook.
Individu yang merakam gambar itu menyifatkan reptilia yang ditemui di Sungai Selangor itu terlalu besar.
|
Kemaskini pada 2021-07-01 12:44:41 daripada Administrator