Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : Bubu naga pula jadi ancaman

Wartawan Sinar Online II 04 OKTOBER 2017

 
       

SEKINCHAN –  Kira-kira 100 nelayan pesisir pantai di Sungai Nibong dan Pasir Panjang di sini, mendakwa sumber pendapatan mereka terjejas teruk berikutan aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan warga asing, sejak empat bulan lalu.

 

Aktiviti menggunakan bubu di Zon A iaitu kira-kira satu hingga lapan batu nautika dari darat itu dipercayai dilakukan secara berleluasa hingga menyebabkan kumpulan nelayan pesisir pantai menghadapi kemerosotan hasil tangkapan ikan.

 

Seorang penduduk, Osman Sarip, 53, berkata, isu penggunaan bubu naga amat kritikal hingga menyebabkan mereka tidak dapat membawa hasil tangkapan seperti sebelum ini.

 
 

“Kalau dulu, purata pendapatan bersih sebulan boleh cecah RM3,000 tapi sekarang hanya dapat RM1,000 lebih saja sebulan.

 

“Sampai bila kami nak dibelenggu masalah ni, sedangkan inilah hasil mata pencarian kami sejak sekian lama,” katanya kepada Sinar Harian.

 

Osman yang menetap di Kampung Pantai Batu 23, Sungai Nibong berkata, mata pukat bubu naga jauh lebih kecil hingga mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah masuk ke perangkap jaring terbabit.

 

“Penggunaan bubu naga jejaskan habitat marin dan jika tak terkawal kita risau hasil laut makin berkurangan,” katanya.

 

Kos tinggi baiki

 

pukat koyak

 

Seorang lagi nelayan, Azman Ahmad Ismail, 49, berkata, aktiviti memasang bubu naga boleh dilakukan pada bila-bila masa namun kebanyakannya dilakukan pada awal pagi.

 

“Kami kesal apabila kawasan tangkapan semakin kecil disebabkan pencerobohan nelayan warga asing. Bagaimana nelayan pantai nak tingkatkan taraf hidup jika hasil laut makin berkurangan?,” katanya.

 

Ahmad Daud Abdul Hamid, 50, berkata, nelayan terpaksa menanggung kos ratusan ringgit sekiranya pukat mereka bersaiz 8 meter lebar dan 35 panjang itu koyak atau rosak akibat aktiviti penangkapan ikan menggunakan bubu naga.

 

“Nak jahit semula jaring pukat hanyut ni kosnya mahal. Dahlah hasil laut tak seberapa, tambah pula masalah jaring koyak. Jika dulu kami berdepan masalah pukat tunda, sekarang bubu naga pula jadi ancaman serius.

 

 

“Mereka (nalayan warga asing) tak payah naik bot besar tangkap ikan macam pukat tunda. Mereka naik bot fiber macam kami, tapi mereka gunakan mata pukat lebih kecil untuk tangkap ikan dalam kuantiti yang banyak,” katanya.

 

Aduan dibuat namun

 

tiada tindakan

 

Seorang lagi nelayan, Baharuddin Md Zin, 49, berkata, perkara itu telah beberapa kali dimaklumkan kepada pihak berkuasa, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

 

“Banyak kali dah kami buat aduan, tapi seolah-olah tiada penyelesaian. Kita rayu pihak berkuasa ambil tindakan tegas dan jangan biarkan mereka bermaharajalela di laut.

 

“Sudahlah bot pukat tunda dibiarkan tangkap ikan sesuka hati di kawasan pesisir pantai, sekarang pula bubu naga yang memang tak dibenarkan untuk menangkap ikan,” katanya.

 

Seorang nelayan muda, Nasir Sapari, 35, berkata, pihak tidak bertanggungjawab menggunakan bubu naga perlu menghormati undang-undang perikanan yang ditetapkan.

“Kebanyakan golongan muda tak lagi berminat jadi nelayan sebab masalah gagal ditangani secara berkesan. Bayangkanlah, kalau orang muda yang dah berkahwin dan ada anak, mereka tak mahu jadi nelayan sebab banyak masalah dan tak dapat pembelaan yang sewajarnya.

 

“Kalau keadaan ini berterusan, kita risau hanya nelayan warga asing saja yang minat tangkap ikan, manakala anak muda tempatan perlu cari pekerjaan lain yang lebih menjamin masa depan,” katanya.

 

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dalam status di akaun Facebook miliknya meminta pihak berwajib melakukan tindakan penguatkuasaan segera.

 

“Nelayan sudah penat mengadu kepada agensi penguatkuasaan seperti APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan Jabatan Perikanan.

 

“Saya menggesa agar pihak penguat kuasa mempergiat tugasan mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

 


Kemaskini pada 2017-10-05 08:30:03 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page