Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : Ajal dua penunggang remaja

Wartawan Sinar Harian II 08 Julai 2014
 
   

 

KUALA SELANGOR - Tak sampai tempoh 24 jam, dua remaja yang juga penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di Kuala Selangor dan Ijok, malam kelmarin.

Mangsa pertama, Muhammad Ikhwan Hakim Mohd Khusairi, 15, terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah lori satu tan muatan kosong di KM18 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur di persimpangan Jalan Kubur, Ijok.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, mangsa dipercayai menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor menghala ke Ijok sebelum dikatakan bertembung sebuah lori yang sedang membelok masuk ke Jalan Kubur.

Akibat pelanggaran itu, mangsa dikatakan bergesel dengan tepi lori lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik. Mangsa kemudiannya tercampak kira-kira tujuh meter ke dalam semak.

      Motosikal milik Muhammad Ikhwan Hakim tersandar di tepi jalan selepas kemalangan maut di KM18 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur di persimpangan Jalan Kubur, Ijok.    Darah mangsa memenuhi jalan simpang di KM45 Jalan Klang-Teluk Intan.

Sumber berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 130 pagi sebelum pasukan penyiasatan trafik yang diketuai Inspektor Mohd Elmi Othman bergegas ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati, mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Motosikal milik mangsa mengalami kersakan teruk di bahagian depan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat bagaimanapun jenazah sudah dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Sabak Bernam.

“Bagi pemandu lori yang juga seorang lelaki Melayu, dia turut mengalami kecederaan di bahagian muka dan masih menerima rawatan di hospital sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagi kejadian kedua membabitkan seorang remaja, S Eswaran, 17, yang terbunuh selepas bertembung dengan seorang lagi penunggang motosikal di KM45 Jalan Klang-Teluk Intan di persimpangan masuk ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor.

Mangsa yang menunggang motosikal seorang diri itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bandar Baru Kuala Selangor selepas bertemu rakannya di Taman Paduka, di sini kira-kira jam 9 malam.

Sumber berkata, dalam kejadian itu mangsa dikatakan  tidak menyedari kehadiran sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan ketika sedang membelok di persimpangan dan berlaku pelanggaran.

“Akibatnya, mangsa terpelanting ke lorong kiri manakala seorang lagi penunggang motosikal  yang juga seorang lelaki berusia 18 tahun tercampak di tengah jalan.

“Eswaran mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tanjong Karang manakala seorang lagi penunggang motosikal dikejarkan ke hospital sama kerana mengalami kecederaan parah.

“Bagaimanapun penunggang motosikal terbabit dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad mengesahkan menerima laporan berhubung dua kes kemalangan itu berkata, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

   

Kemaskini pada 2014-07-10 17:13:25 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page