Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : 'Kami tak akan berdiam diri'

Wartawan Sinar Harian II 14 Jun 2014
 
   

 

TANJONG KARANG - “Kami tidak akan berdiam diri bila tengok anak pokok kelapa sawit dimusnahkan begitu saja. Inilah punca rezeki kami anak -beranak,” luah penduduk Kampung Lubuk Jaya, Bukit Belimbing di sini selepas lebih 100 anak pokok dimusnahkan sepanjang 700 meter, semalam.

Penduduk, Saleh Abas, 50, berkata, dia akur sekiranya kerja pembersihan tanaman kelapa sawit di sepanjang tanah rizab yang ada di kampung itu dijalankan secara menyeluruh termasuk Kampung Bukit Belimbing.

                 Penduduk Kampung Lubuk Jaya kecewa tanaman pokok kelapa di kampung itu dimusnahkan.  Tanaman pokok kelapa di jalan utama tidak diusik sedangkan janji kesemua tanaman di atas tanah rizab akan dimusnahkan.

Menurutnya, sebelum ini penduduk Kampung Lubuk Jaya setuju selepas pihak berkenaan mahu membersihkan kawasan tanah rizab yang diusahakan dengan tanaman kelapa sawit yang dikatakan mengganggu aliran air parit utama.

“Masa itu kami setuju dan akur selepas dikatakan semua tanah rizab akan dibersihkan semua yang terlibat termasuk di kampung bersebelahan. Tapi bila semua tanaman kelapa sawit yang diusahakan enam penduduk dimusnahkan, kerja pembersihan terhenti begitu saja.

“Siapa tak bengang bila kampung lain yang sama-sama usahakan tanah rizab itu tak dimusnahkan? Tapi hasil tanaman sawit yang diusahakan penduduk Kampung Lubuk Jaya dimusnahkan. Ini tidak adil bagi kami,” katanya.

Saleh berkata, dia kecewa apabila nasib penduduk seolah-olah dianaktirikan segelintir pemimpin disebabkan kampung itu agak tersorok dan masing-masing menuding jari seolah-olah mahu melepaskan diri.

“Inilah satu-satunya punca pendapatan keluarga lagi-lagi saya seorang asnaf dan kurang upaya (OKU), nak guna duit menyara anak. Bila jadi macam ini, luruh hati saya mengenangkan nasib yang tak dibela.

“Siapa lagi nak dengar rintihan kami? Ke mana lagi harus saya mengadu nasib? Cukup-cukuplah buat kami terus tertekan seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jalan ladang dipersoalkan

Manakala, Othman Dahlan, 59, berkata, alasan mengganggu jalan yang diberikan pihak berkenaan sebelum memusnahkan tanaman pokok sawit itu dipersoalkan penduduk berikutan kawasan tanaman itu adalah jalan ladang.

“Memang tak ada satu rumah pun di kawasan ini yang dikatakan mengganggu jalan. Lainlah kalau pokok sawit itu ditanam di jalan utama penduduk yang keluar masuk dari kampung ke pekan seperti di Kampung Bukit Belimbing.

“Tapi kenapa kawasan ini sering jadi sasaran untuk dimusnahkan? Bukan sekali tapi dua kali dimusnahkan tanpa alasan kukuh. Bahkan tanpa sebarang notis mereka musnahkan anak pokok yang diusahakan penduduk,” katanya.

Yusmainor Dahlan, 37, pula berkata, memang penduduk tidak mempunyai pilihan lain selain mengusahakan tanah di atas rizab kerajaan seiring kempen kerajaan terdahulu yang mahu memanfaatkan tanah rizab yang terbiar.

“Memang penduduk tak mampu nak beli tanah untuk kelapa sawit. Bila kita sahut seruan kerajaan untuk memanfaatkan tanah rizab yang terbiar, lain pula jadinya. Keadaan lebih teruk bila kerajaan negeri bertukar.

“Di mana slogan kerajaan berkebajikan? Di mana mereka yang kononnya mahu membela nasib rakyat miskin? Kalau betul adil, kenapa tanah rizab kampung lain tak dimusnahkan sekali?," katanya.

Kuasa kerajaan negeri

Ketua Blok Kampung Lubuk Jaya, Mohd Nasir Lias, 35, berkata, pihaknya mengakui menerima rungutan penanam kelapa sawit di sepanjang jalan ladang di kampung itu yang tidak berpuas hati dengan kerja pembersihan tanah rizab.

“Saya pun kenal penanam kelapa sawit yang rata-ratanya bukannya orang senang dan bergantung kepada hasil pertanian untuk meneruskan hidup lagi-lagi masih menanggung anak yang masih kecil.

“Saya turut mengajukan masalah ini kepada pihak bertanggungjawab sebab kuasa tanah memang 100 peratus di bawah kerajaan negeri. Saya juga harap rungutan ini mendapat perhatian Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri,” katanya.

Sementara itu, Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak berkata, pihaknya akan mengenal pasti status tanah rizab yang diusahakan enam penduduk di Kampung Lubuk Jaya itu sebelum tindakan lanjut dapat diambil.

“Tak kira siapa penduduk itu, sudah menjadi tanggungjawab sebagai pemimpin untuk membela nasib mereka seperti mana nasib penanam kelapa sawit di Kampung Seri Makmur dan di Taman Agroteknologi Bestari Jaya.

“Memang kita akui kuasa tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri tapi sewajarnya ada perbincangan dengan penduduk kerana difahamkan, tanah yang diusahakan bukannya mengganggu jalan,” katanya

Menurutnya, ihsan kerajaan negeri amat penting untuk membela penduduk yang rata-ratanya tidak punya tanah sendiri.

“Bagilah peluang kepada mereka ini mengusahakan tanaman di tanah yang dilihat bukannya besar mana pun. Lagipun tanah itu bukannya mahu dimajukan untuk sebarang projek pembangunan dan kes seperti ini bukannya baru tapi melibatkan penanam
pokok kelapa sawit yang mengusahakan tanaman di atas tanah rizab kerajaan.

“Sewajarnya kerajaan negeri bertimbang rasa dalam hal ini dan saya akan cuba bantu sebaik mungkin dan perbincangan dengan pihak bertanggungjawab akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

   

Kemaskini pada 2014-06-24 15:02:41 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page