Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

BERITA : 'Cukuplah suami saya jadi korban'

Wartawan Sinar Online II 11 APRIL 2018

 
       

KUALA SELANGOR- “Saya masih trauma… cukuplah ujian pedih ini buat keluarga kami. Jangan berlaku kepada orang lain,” demikian luahan mangsa kemalangan membabitkan lembu berkeliaran di daerah ini.

 

Menurut Azlianty Ahmad, 39, tragedi yang meragut nyawa suaminya, Allahyarham Mohammad Nor Abd Halim, 41, pada 26 Mac lalu masih segar dalam ingatan dan sehingga kini masih belum mendapat pembelaan.

 

“Saya memang trauma dengan hospital, ICU bahkan lembu yang berkeliaran di jalan. Cukuplah saya merasai mimpi ngeri insan kesayangan saya pergi buat selama-lamanya akibat kecuaian manusia.

 

 

“Hari ini hari saya, esok lusa tak tahu berapa ramai lagi yang berulang alik dari kerja melalui jalan tu… saya mohon sangat-sangat supaya ada pihak ambil tanggungjawab perkara ini,” katanya.

 

Azlianty yang masih menanggung tiga anaknya yang masih bersekolah itu memohon pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung isu lembu terlepas di Jalan Dato Miskun Bukit Kerayong.

 

“Arwah suami masa malam 18 Mac tu dalam perjalanan balik kerja di Klang dan memang selalu lalu Jalan Dato Miskun Bukit Kerayong tu sebab dekat dengan rumah di Kampung Bukit Hijau.

 

“Memang situ banyak lembu terbiar lepas tapi tak sangka suami jadi mangsa. Dia koma lapan hari di ICU Hospital Sungai Buloh selepas cedera teruk di bahagian kepala dan dalaman,” katanya.

 

Nota tulisan tangan amanat terakhir

Katanya, dia tidak menyangka nota tulisan tangan suaminya untuk anak kedua iaitu satu-satunya anak perempuan tunggal yang mahu belajar menghafaz al-Quran menjadi amanat terakhir.

 

“Bila saya imbas balik kenangan bersama arwah suami. Bila kenang balik nota untuk anak perempuan dan doanya yang mahu melihat anaknya itu menjadi seorang hafizah, hati menjadi sebak.

image
Nota tulisan tangan menjadi amanat terakhir Allahyarham kepada anak keduanya.

“Memang kadang-kadang saya tak kuat tapi demi anak-anak, saya kuatkan semangat untuk mereka dan sentiasa mendoakan arwah suami sentiasa dalam limpahan rahmat ALLAH,” katanya sayu.

 

Tragedi berdarah yang menimpa Allahyarham Mohammad Nor itu turut mendapat perhatian

 

Aktivis, Lando Zawawi turut tampil menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa.

 

image
Musibah yang menimpa Azlianty sekeluarga turut mendapat perhatian aktivis, Lando Zawawi.

MDKS beri peringatan

Sementara itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) memberi peringatan kepada pemilik lembu yang dibiarkan lepas di jalan utama di daerah ini supaya mematuhi arahan yang ditetapkan.

 

Setiausaha MDKS, Azman Dahlan menjelaskan, MDKS juga mengeluarkan notis dan arahan kepada pemilik lembu untuk memastikan lembu mereka tidak berada di kawasan laluan tersebut dan mengganggu tanaman penduduk lain.

 

“MDKS juga mengeluarkan tujuh notis dan arahan kepada pemilik lembu di kawasan Bestari Jaya dan satu notis di Kampung Seri Aman, Ijok untuk memastikan haiwan ternakan mereka tidak dibiarkan berkeliaran.

 

“Sudah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang itu membiarkan lembu dalam kawasan larangan di bawah Seksyen 4(1) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 dan boleh didenda sehingga RM200,” katanya.

 

Azman berkata, MDKS juga boleh mengurung mana-mana lembu atau kerbau yang ditangkap dan disimpan di suatu tempat atas risiko pemunya atau penjaga lembu-kerbau sehingga belanja bagi tangkapan, kurungan dan memberi makan lembu-kerbau itu dibayar.

 

“Barulah pemunya atau penjaga boleh menuntut kembali lembu-kerbau itu di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

 

“Seksyen 13 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada MDKS untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemunya, penjaga kerana melanggar mana-mana peruntukan di dalam enakmen tersebut,” katanya.

 

Sehubungan itu katanya, penyiasatan segera dijalankan untuk mengenal pasti pemilik yang masih lagi lalai menjaga ternakan mereka sehingga mengakibatkan kemalangan.

 

“MDKS juga memberi amaran keras kepada pemilik ternakan yang masih berdegil kerana tindakan segera akan dikenakan kepada mereka dalam masa terdekat.

 

“Orang ramai diminta untuk menyalurkan aduan segera secara dalam talian di dalam aplikasi Sistem Pengurusan Aduan Rakyat Kuala Selangor (SPARKS) yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Play Store dan App Store.

 

“Kerjasama semua pihak dapat membantu MDKS membendung masalah haiwan ternakan berkeliaran di laluan utama sehingga menimbulkan risiko kemalangan kepada pengguna,” katanya.
 

 

 


Kemaskini pada 2018-04-13 08:38:02 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page