Wartawan Sinar Online II 01 JULAI 2020
SHAH ALAM - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengeluarkan sebanyak 84 Notis Pemberitahuan Kesalahan dan lima Kompaun Pemberitahuan Kesalahan kepada pemilik premis yang gagal mematuhi Enakmen LUAS 1999 sepanjang Ops Sumber Air bermula 18 Mac lalu.
Menurut kenyataan itu, sepanjang pemantauan 24 jam ops berkenaaan dilaksanakan, sebanyak lima insiden pencemaran menyebabkan henti tugas loji pembersihan air (LPA) utama dilaporkan walaupun negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Melalui operasi dijalankan, tempoh masa henti tugas loji terlibat dengan insiden pencemaran Kod Merah dapat dikurangkan hasil daripada tindakan bersepadu LUAS dan semua agensi terlibat. “Operasi bersepadu ini melibatkan beberapa agensi termasuk JAS, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ia dilaksanakan mengikut bidang kuasa agensi dengan pemantauan di lebih 20 kawasan sensitif sumber air.
Kenyataan itu memaklumkan, sepanjang ops tersebut dilaksanakan, LUAS juga mengaktifkan kod kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air sebanyak lima kali bagi insiden yang tidak menjejaskan operasi LPA.
Terdahulu, LUAS memaklumkan sejak 1 Jun lalu pihaknya menjalankan pemantauan dan rondaan di kawasan sensitif di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat termasuk empangan negeri setiap hari bagi memastikan tiada sebarang insiden pencerobohan dan pencemaran terhadap sumber air berlaku.
LUAS dalam pada itu meminta semua pihak prihatin terhadap kawasan-kawasan sensitif sumber air negeri terutama sungai dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihaknya.
|
Kemaskini pada 2020-07-01 11:07:27 daripada Administrator