Wartawan Sinar Harian II 15 MEI 2025
SHAH ALAM - Selangor mencatat sejarah sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang memiliki gudang makanan sendiri, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju utama dalam menjamin keselamatan makanan rakyat. Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Gudang Makanan Selangor (GMS) yang terletak di Bandar Sultan Suleiman kini menempatkan stok bekalan asas utama termasuk 5,000 tan beras dan sejuta kilogram daging sejuk beku. Menurut beliau, langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi negeri bagi memastikan rakyat sentiasa mempunyai akses kepada makanan yang mencukupi, khususnya dalam situasi kecemasan, bencana besar dan pandemik.
“Dengan stok sedia ada, rakyat mampu bertahan sekurang-kurangnya selama tiga bulan jika berlaku kekangan pergerakan.
“GMS turut berperanan sebagai penimbal harga pasaran agar ia kekal stabil dan berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Amirudin, stok di GMS tidak akan disimpan terlalu lama kerana akan diganti secara berkala melalui platform seperti Jelajah Ehsan Rakyat (JER), Ehsan Mart dan pasar borong.
“Sebahagian kecil stok ini juga akan digunakan sebagai subsidi kepada rakyat mengikut keperluan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa tapak tetap GMS seluas 4.046 hektar telah dikenal pasti di Kuala Selangor dan kini dalam fasa dokumentasi sebelum pembinaan dimulakan.
Pembinaan ini dijangka mengambil masa satu tahun setengah untuk disiapkan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, keselamatan makanan bukan sahaja melibatkan beras dan daging, malah komoditi yang disimpan akan diperluaskan secara berperingkat demi kelangsungan masa depan.
“Selangor akan terus menerajui strategi keterjaminan makanan yang mapan dan lestari untuk seluruh rakyat negeri ini,” katanya |