Berita : Empat rumah ibadah berdekatan simbol harmoni, perpaduan utuh Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

Wartawan Sinar Harian II  27 MAC 2025

 
       

KUALA SELANGOR - Keunikan Kampung Bukit Rotan di sini menarik perhatian ramai apabila empat rumah ibadah utama iaitu masjid, kuil, gereja dan tokong terletak berhampiran antara satu sama lain, sekali gus mencerminkan semangat keharmonian kukuh dalam kalangan penduduk berbilang agama.

Masjid An-Nuriah terletak di tengah-tengah kawasan itu berdiri bersebelahan dengan Gereja Methodist di sebelah kanan dan Kuil Sri Shakti Dhevasthanam di sebelah kiri, manakala sebuah tokong Cina pula terletak di hadapan masjid.

 

Timbalan Pengerusi Masjid An-Nuriah, Abd Rahman Madar Khan berkata, kedudukan rumah ibadah yang terletak kira-kira 200 meter antara satu sama lain menjadi simbol toleransi agama.

"Kami hidup dalam suasana penuh hormat-menghormati antara rumah ibadah lain dan tidak pernah timbul sebarang pertelagahan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Menurut Abd Rahman, masjid yang telah berusia lebih 100 tahun itu juga menjaga hubungan baik dengan rumah ibadah penganut agama lain.

"Setiap kali ada sambutan keagamaan, kami akan saling memaklumkan bagi memastikan ibadah berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

"Misalnya, jika jumlah jemaah ramai ketika solat Jumaat atau majlis berbuka puasa, pihak gereja membenarkan kami menggunakan parkir mereka," katanya.

Sementara itu, pekerja tukang masak kuil, M Saraswathy, 63, berkata, sepanjang lima tahun bekerja di kuil itu, dia tidak pernah mendengar sebarang persengketaan antara jawatankuasa rumah ibadah.

Menurutnya, Kampung Bukit Rotan juga menjadi laluan sibuk kerana menghubungkan dua lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Ujarnya, penduduk di kawasan itu membuktikan bahawa perbezaan kepercayaan tidak menghalang perpaduan erat.

"Kami hidup dalam semangat muafakat bagi memastikan semua dapat melaksanakan ibadah masing-masing tanpa gangguan," jelasnya.

Penduduk, Chew Boon Seng, 65, turut berbangga dengan suasana muhibah yang telah lama wujud di kawasan itu dan berharap keharmonian itu terus dipertahankan.

“Kedudukan tokong di hadapan masjid bukan penghalang untuk kami beribadah, malah kami sering berbincang bagi memastikan suasana di kawasan ini sentiasa aman.

“Jika ada acara besar, penganjur akan memastikan tidak berlaku sebarang gangguan kepada rumah ibadah lain," katanya.

Diterbitkan pada 27 March, 2025 Diterbitkan Oleh 1