Berita : Nelayan asing selamba guna bubu naga tangkap ikan Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

Wartawan Sinar Harian II  02 OGOS 2024

 
       

SABAK BERNAM - Kegiatan nelayan asing yang dipercayai digaji warga tempatan bagi mencuri hasil laut dengan menggunakan peralatan haram iaitu bubu naga di perairan Sungai Besar di sini dilumpuhkan pada Rabu.

Operasi itu dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang bermula jam 8 pagi.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, seramai 10 lelaki warga Myanmar berusia 26 hingga 54 tahun tanpa dokumen pengenalan diri telah ditahan ketika sedang leka menuai hasil bubu naga.

Katanya, pasukan operasi turut bertindak merampas lima bot vesel selain peralatan bubu naga.

"Dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) ini diupah oleh warga tempatan untuk menjalankan operasi bubu naga di perairan Sungai Besar.

"Siasatan juga dijalankan untuk kenal pasti majikan selain sejak bila aktif, upah diberi dan adakah mereka terlibat dalam kumpulan yang sama," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Noraisyah berkata, pihaknya percaya nelayan asing ini giat menjalankan aktiviti pada waktu air mati.

Jelasnya, bagi mengelakkan bubu naga dirampas di jeti, nelayan-nelayan ini akan meletakkan semula peralatan itu di lokasi penangkapan ikan sejurus hasil diperoleh.

 

Tegas beliau, kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 kerana mengusahakan penangkapan ikan tanpa lesen yang sah.

"Selain itu, penggunaan bubu naga juga disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 kerana peralatan ini dikategorikan sebagai peralatan menangkap ikan yang dilarang diusahakan di perairan perikanan Malaysia," ujarnya.

Lima vesel yang digunakan nelayan warga Myanmar disita pada Rabu.

Diterbitkan pada 2 August, 2024 Diterbitkan Oleh Administrator