image
Eneng Faridah Iskandar

Pengarah Ka­nan Bahagian Advokasi dan Jangkauan MCMC, Eneng Faridah Is­kandar berkata, ia merupakan per­kembangan positif dalam usaha agensi tersebut menjadikan portal ber­kenaan sebagai pusat rujukan kesahihan berita yang tular.

"Kita mahu tambahkan bahan bersifat tempatan di peringkat daerah dan negeri dan tidak hanya fokus kepada berita atau isu berskala nasional sahaja. Kami juga sedang bekerjasama dengan 22 agensi kerajaan dan 100 organisasi lain yang sudi menjadi titik rujuk kesahihan berita yang tular," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu hadir pada majlis penutup Siri Jelajah Sebenarnya.my di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar oleh Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi.

Sehubungan itu, Eneng Faridah berkata, pihaknya mengalu-alukan penyertaan setiap lapisan masyarakat dalam menyumbang berita ataupun aduan kepada portal berkenaan.

Sementara itu, Eneng Faridah berkata, laporan berhubung media sosial yang diterima MCMC me­ningkat tiga kali ganda tahun lalu kepada 2,319 berbanding 742 aduan pada 2016.

Wilayah Tengah yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mencatatkan bilangan aduan tertinggi pada kedua-dua tahun iaitu 357 aduan pada 2016 dan 1,071 pada tahun lalu, katanya.

Siri Jelajah Sebenarnya.my di SMK Sungai Besar adalah siri pertama daripada 24 siri jelajah yang telah dirancang sehingga Mac tahun ini. – BERNAMA