Ini terbukti apabila sebanyak 169 kilogram sampah berjaya dikumpul pada Program Sayangi Sungai Selangor, di jeti Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Kuantan, di sini. 

 

Program siri pertama tahun ini dianjurkan Kelab Alami Kawa Kuala Selangor dan disertai seramai 12 ahlinya. Penyelaras kelab, Masbudi Abdul Malek berkata, peserta program menggunakan tiga buah sampan untuk mengutip sampah yang hanyut di Sungai Selangor terutamanya di kawasan sekitar radius 100 meter dari jeti Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Kuantan.

 

“Hasilnya, pada program ini peserta berjaya mengumpulkan pelbagai jenis sampah seberat 169 kilogram. 

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 111 kilogram adalah sampah yang boleh dikitar semula seperti bo­­tol dan bekas plastik,” katanya.

 

Menurut Masbudi, sepanjang tahun lalu sahaja pihaknya de­ngan kerjasama sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan institusi pe­ngajian tinggi (IPT) telah mengumpul 1.5 tan metrik sampah melalui 10 siri program konservasi berbentuk kesedaran komuniti di Sungai Selangor.

 

“Program konservasi seperti Sayangi Sungai Selangor ini akan terus dijalankan. Mana-mana NGO, badan korporat dan institusi pengajian tinggi yang ingin berkoloborasi dalam program ini amat dialu-alukan.

 

“Usaha ini diharap mampu menyedarkan orang ramai terhadap ke­pentingan menjaga ke­­bersihan sungai sekali gus mengurangkan jumlah sampah di Sungai Sela­ngor,” tambahnya