Demikian kata Abd Jalil Lazim, 46,  yang ikhlas mahu memulangkan semula kepada pemilik dompet yang berisi wang ribuan ringgit yang ditemui di Jalan Pantai Remis ketika berniaga rambutan, Isnin lalu.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia memang sibuk menyiapkan tempat berniaga buah rambutan di tepi jalan berkenaan.

 

“Masa tu, saya perasan ada dompet berwarna hitam atas jalan. Jadi saya ambil dan buka...punyalah terkejut bila tengok banyak duit dalam dompet tu.  Ada Mykad dan kad kredit juga. Nak bawa ke balai polis pun masa tu terhad sebab tengah berniaga.

 

“Jadi, saya fikir kalau viral mesti cepat maklumat sampai...sebab kalau nak pulangkan lepas habis niaga, makan masa agak lama untuk ke alamat yang tertera dalam Mykad.

 

 

“Alhamdulillah lepas sejam, pemilik dompet hubungi saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

 

 

Abd Jalil berkongsi kegembiraan pemilik dompet itu yang dikatakan hanya menyedari kehilangan dompet ketika mahu membeli barang sekolah dan membayar yuran kolej anak di Bestari Jaya.

 

“Pemilik cerita, dia sekeluarga hanya mampu tawakal kepada ALLAH supaya wang itu dapat dikembalikan dan hasil bantuan jiran, dan saudara yang lihat viral itu, mereka terus hubungi pemilik dompet terbabit.

 

 

“Bila jumpa tu, saya tengok mereka hilang kata-kata dan menangis bila dapat semula dompet yang hilang. Saya pun sebak juga sebab ditemukan dengan mereka.

 

“Sebab saya faham kesedihan orang hilang duit ni lagi-lagi yang tunggu gaji nak bayar sekolah anak,” katanya.

 

Tidak menolak ramai netizen yang menuduhnya seolah-olah mahu mencari nama dalam komen media sosial namun Abd Jalil tetap berpegang pada niatnya yang mahu menolong.

 

“Jika dompet tu ditemui orang lain, mungkin lain ceritanya. Tapi bagi saya, biarlah orang nak cakap apa sekali pun, apa yang penting ALLAH tahu niat kita sebenarnya.

 

“Sebab saya tahu erti kesusahan sebab pernah hidup susah sebelum ni dan sangat tahu keadaan bila memerlukan duit lebih-lebih bila hilang macam ni menjelang sesi persekolahan tahun baru.

 

“Sekurang-kurangnya kebaikan seperti ini dapat didik masyarakat bahawa tindakan ini perlu diamalkan dan disebarkan. Mungkin kita tak kaya tapi ALLAH berikan kekayaan dalam bentuk lain seperti kesihatan yang baik,” katanya.

 

Sebelum ini, kisah Abd Jalil yang tular selepas video berdurasi satu minit 57 saat mengenai penemuan sejumlah wang di dalam dompet yang dikatakan tercicir di Jalan Pantai Remis.

 

Hasil kerjasama orang ramai yang mengenali pemilik dompet terbabit akhirnya membolehkan Abd Jalil mengesannya dan sesi pemulangan dompet agak beremosi dengan linangan air mata kegembiraan.