Wartawan Utusan Online II 15 DISEMBER 2017
KUALA SELANGOR – Masalah kewangan kerana dibebani hutang dipercayai menjadi punca seorang lelaki kurang upaya (OKU) pekak dan bisu bertindak di luar kewarasan akal kerana tergamak menetak sebelum membakar pasangan warga emas dan dua cucunya dalam satu kejadian tragis di Tanjung Sepat, kelmarin.
Suspek yang berusia 38 tahun itu pula bukan orang lain, tetapi teman lelaki kepada anak bongsu mangsa yang juga seorang OKU (pekak dan bisu) dan bekerja di sebuah kilang perabot di Kepong
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, suspek yang turut cedera ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira pukul 1 pagi semalam dan dengan penahanan tersebut, kes dianggap selesai.
“Suspek adalah teman lelaki kepada anak bongsu mangsa yang berusia 30 tahun, suspek juga mengaku terlibat dan cuma bertindak sendirian dalam kes ini.
“Kita percaya suspek mempunyai hutang sehingga mendorongnya melakukan perbuatan khianat itu dan sebelum kejadian, berlaku pertelingkahan di rumah mangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Asri Abd. Wahab dilantik sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor menggantikan Superintenden Ruslan Abdullah.
Kelmarin, Tee Nang, Mai Shak serta dua cucunya, Ryan Chia Zeng Xi, 9, dan Chia Yuan Bin, 3, ditemukan rentung tetapi siasatan oleh Pasukan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) polis mendapati tiga daripada mangsa mempunyai kesan tetakan pada badan.
Dalam kejadian itu, seorang lagi cucu mangsa berusia 12 tahun, yang juga abang kepada Zeng Xi berjaya menyelamatkan diri tetapi turut cedera akibat dikelar di bahagian leher. Mengulas lanjut, Mazlan berkata, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tambahnya, buat masa ini, pihaknya juga masih lagi menunggu laporan rasmi proses bedah siasat dari Hospital Banting.
|
Kemaskini pada 2017-12-18 09:09:23 daripada Administrator