Timbalan Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Datuk Mohd Sakeri Dolah berkata, meskipun jumlah banduan muda bawah 21 tahun ini tidak mengalami peningkatan ketara namun isu ini wajar diberikan perhatian.

 
 
 
 
 

 

Menurutnya, buat masa ini terdapat kira-kira 2,640 banduan muda dipenjarakan manakala 1,253 lagi menjadi penghuni Sekolah Henry Gurney yang kesemuanya berumur 21 tahun ke bawah.

 
 
 

“Hasil pemerhatian mendapati, kurangnya kasih sayang dan mahukan perhatian keluarga menjadi faktor utama golongan muda mudah terjebak dengan aktiviti jenayah sehingga mereka terpaksa dihantar ke penjara atau pusat pemulihan.

 

 

“Kebanyakan banduan muda ini hanya melakukan jenayah kecil seperti curi dan sedikit saja yang terlibat dengan jenayah berat seperti rompak dan dadah,” katanya pada Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Tengah 2017.

 

Mohd Sakeri menjelaskan, Jabatan Penjara berusaha memupuk perasaan benci terhadap jenayah dalam kalangan masyarakat melalui penganjuran program tahunan ini.

 

“Program ini adalah salah satu inisiatif bersama kementerian berkaitan untuk membimbing, memberi keinsafan dan pencegahan penglibatan pelajar sekolah terhadap kegiatan jenayah.

 

“Ini kerana rata-rata banduan muda adalah berlatarbelakangkan pelbagai. Ada yang tergolong keluarga bermasalah dan ada juga datangnya dari keluarga berada,” katanya.