Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : Rayu timbang tuntutan pampasan

Wartawan Sinar Harian II 25 Oktober 2016

 

KAMPUNG PERMATANG – Seorang pesara tentera memohon kerajaan mempertimbangkan tuntutan pampasan kecederaan kakinya akibat terkena jerangkap samar musuh ketika masih dalam perkhidmatan.

 

Hamzah Hassan, 62, yang kehilangan kaki kanan dan cedera teruk pada kaki kiri akibat kejadian berkenaan merayu supaya tuntutan pampasan itu diberikan perhatian segera.

 

Menurutnya, tuntutan itu dibuat kerana sebelum ini terdapat dakwaan mengatakan hanya kecederaan kaki kanannya dicatat dalam borang perubatan (BATF4) manakala kecederaan kaki kirinya tidak direkodkan.

 

"Sebelum ini pakcik ada terbaca rekod BATF4 semasa nak buat permohonan faedah hilang upaya tambahan untuk kaki kanan, tapi terkejut apabila mendapati tidak tertera kecederaan kaki kiri.

 

"Memang musykil memikirkan kenapa rekod kecederaan kaki kiri tidak ditulis. Pakcik buat surat kepada beberapa pihak berkaitan sejak Ogos lalu agar perkara ini diberi perhatian," katanya.

 

Hamzah berkata, dia bersyukur apabila suratnya mendapat perhatian dan maklum balas yang mengatakan permohonan kaji semula kecederaan kaki kiri akan dibuat dan dipanjangkan kepada jabatan berkaitan.

 

Bagaimanapun katanya, surat terkini pada 7 Oktober lalu memaklumkan dakwaan dibuatnya tidak tepat kerana rekod kecederaan kaki kirinya tertera dalam dokumen BATF4 serta tidak dimaklumkan secara terus bahawa permohonan ditolak.

 

"Pakcik tak nafikan rasa sangsi dengan jawapan balas itu dan paling dikesalkan, permohonan ditolak tanpa dimaklumkan kepada pakcik, dengan alasan rekod kecederaan dicatat.

 

"Surat itu memaklumkan 'kecederaan tuan telah sembuh sepenuhnya'. Bila mereka datang tengok keadaan pakcik untuk kata kecederaan kaki dah sembuh? Nak berjalan susah dan kesakitan ditanggung sampai sekarang," katanya.

 

Katanya, kerana itu dia terus memperjuangkan tuntutan bayaran pampasan mengikut peratusan ditetapkan kerana semua rekod serta surat berkaitan disimpan rapi untuk rujukan dan dia berharap pihak berkenaan memberi perhatian.

 

Menceritakan kejadian yang menyebabkan kedua-dua kakinya mengalami kecederaan, Hamzah berkata, ketika itu dia mengetuai rondaan keselamatan Operasi Sedar Gubir 4 pada 7 Ogos 1978.

 

"Masa itu pakcik baru berumur 22 tahun dan berpangkat Lans Koperal. Pakcik tak boleh lupa kejadian itu sehingga sekarang. Pakcik terpijak jerangkap samar dipasang oleh musuh sehingga menyebabkan kaki kanan putus dan cedera parah pada kaki kiri.

 

"Pakcik dibawa menaiki helikopter ke Hospital Alor Setar ketika itu dan menerima rawatan di wad rumah sakit dalam kem tentera selama tiga bulan. Selepas itu pindah ke Hospital Tentera Kinrara selama empat bulan," katanya.

 

Tambahnya, selepas keluar hospital, dia ditugaskan di Kementerian Pertahanan untuk kerja pentadbiran dan menunggu sehingga setahun untuk mendapat kaki palsu.

 

 

                                                   Rayu timbang tuntutan pampasan


Kemaskini pada 2016-10-28 14:07:06 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page