Wartawan Sinar Harian II 05 September 2016
KUALA SELANGOR - Gagal menjaga kebersihan premis dan tiada suntikan typhoid menyebabkan lima notis kompaun dikenakan kepada pemilik di kawasan premis makanan daerah ini.
Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azahari Sairin berkata, tiada suntikan typhoid, dapur kotor dan tidak memakai penutup kepala serta apron menjadi kesalahan utama yang dikenal pasti dalam pemeriksaan yang dibuat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan juga mendapati tahap kesedaran pengendali makanan dan pemilik dalam menjaga kebersihan premis masih rendah dan boleh dipertikaikan.
“Gejala demam tifoid atau kepialu, penyakit taun dan keracunan makanan adalah penyakit bawaan bakteria merbahaya akibat penghasilan makanan dan air yang tidak bersih sehingga memberi impak negatif terhadap kesihatan tubuh badan.
“Oleh itu, MDKS memandang serius isu membabitkan kebersihan premis makanan termasuk gerai dan restoran yang didaftarkan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengulas lanjut mengenai Operasi Pemeriksaan dan Penggredan Premis Makanan di Desa Coalfields dan Bestari Jaya.
Azahari berkata, pihaknya juga memastikan premis yang didaftarkan dibawah kawasan pentadbiran MDKS patuh syarat dan prosedur penyediaan makanan yang ditetapkan.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS akan memainkan peranan lebih efisien dalam meningkatkan lagi tahap pengawasan kebersihan dan keselamatan makanan di daerah ini.
“Pada masa sama, orang awam disarankan untuk membuat laporan terus kepada MDKS sekiranya menyedari sikap kurang peka pemilik premis makanan terhadap isu kebersihan di persekitaran kawasan premis perniagaan.
“Pemeriksaan secara berterusan akan dilaksanakan dari masa ke semasa dan MDKS turut memberi peringatan kepada setiap peniaga makanan supaya menjaga aspek kebersihan. Jika pengendali makanan atau pemilik premis masih ingkar, tindakan kompaun atau tindakan menutup premis akan dikenakan serta merta,” katanya kepada Sinar Harian.
|
Kemaskini pada 2016-10-28 13:30:31 daripada Administrator