KUALA SELANGOR – 'Pakcik tak sangka dapat sijil penghargaan dari polis sebab tolong mangsa pesawat terhempas tempoh hari,” demikian kata nelayan, Sulian Abd Malek, 51, yang diraikan sempena Sambutan Hari Polis ke-209, semalam. Menurutnya, niatnya ikhlas menolong pegawai tentera yang terselamat dalam insiden pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di perairan Kuala Selangor pada 26 Februari lalu. “Bila dimaklum semalam dapat sijil ni, pakcik rasa bangga sangat sebab inilah pertama kali dapat penghargaan macam ni sepanjang hidup jadi nelayan, seronok tak terkata. “Niat kita nak tolong masa pesawat terhempas tu bukan nak dapatkan balasan apa-apa tapi sebab nak selamatkan orang. “Terima kasihlah bagi sijil dan pakcik akan simpan buat kenangan,” katanya yang juga antara 62 penerima yang diraikan dalam majlis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor. Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor; Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Datuk Mohamad Yaacob Ismail dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar. Seorang lagi penerima yang juga Pengerusi Kepolisan Komuniti (CP) Sungai Kajang, Mohd Yusop Omar, 55, juga tidak menyangka bantuan menangkap warga asing yang cuba memasuki perairan Sungai Kajang dapat perhatian. “Rondaan CP pada awal tahun ini berjaya bantu polis tangkap 79 warga asing dari Indonesia dan Myanmar yang cuba keluar masuk ke negara ini melalui jalan laut di Sungai Kajang. “Masa tu jam 3 pagi kami ronda dan syak sesuatu bila ada lebih kurang lima kereta masuk kawasan pantai...bila hubungi polis, kami bersama orang kampung berjaya tangkap Pati. “Memang kerjasama polis penting dalam banteras kes jenayah dan penghargaan ini mampu suntik semangat kami untuk terus membantu pada masa akan datang,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, kerjasama orang awam mampu membantu polis melaksanakan tugas dengan lebih baik. “Sebab itu, sokongan dan jasa mereka dihargai dalam majlis seperti ini malah moto tahun ini, ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’ dikekalkan. “Tahniah dan syabas kepada penerima sijil penghargaan dan sokongan berterusan diharapkan dapat meningkatkan prestasi cemerlang dan pemantapan tadbir urus yang baik,” katanya.
|
Kemaskini pada 2016-03-28 09:18:39 daripada Administrator