Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : Gembala lembu hilang

Wartawan Sinar Harian II 21 Disember  2014
 
   

 

BESTARI JAYA – Misteri kehilangan seorang penjaga lembu yang dikatakan keluar mencari haiwan ternakan yang dibiarkan lepas di kawasan bukit di Batu 31, Kampung Kambing Susu, di sini masih belum terjawab.

Mangsa, Mohd Fairuz Ibrahim, 29, dikatakan keluar ke arah hutan di kawasan kampung itu kira-kira jam 10 pagi pada Ahad lalu, bagaimanapun tidak pulang.



                                                     Sulaiman (empat, kanan) melihat peta lokasi pencarian seluas tiga kilometer persegi yang disediakan pasukan penyelamat. Gambar kecil: Fairuz

Majikannya, Mohd Nazri Noor Muhammad, 38, berkata, dia hairan Fairuz tidak muncul sehingga jam 1 tengah hari sebelum dia cuba mencari nya hingga ke kawasan bukit.

“Saya jerit panggil Fairuz..tiada sahutan. Memang pelik sebab selalunya dia akan balik selepas alihkan lembu ke kawasan ragut yang tak jauh dari kawasan hutan itu.

“Saya daki bukit dan cari Fairuz kalau-kalau dia tertidur di mana-mana sebab sebelum ini dia pernah tak balik sebab tertidur di hutan.

“Lagipun Fairuz tak akan sesat sebab dia sudah biasa dengan kawasan ini. Dia dah kerja lebih setahun dengan saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Nazri berkata, dia berusaha mencari Fairuz sebelah petang bersama kawannya sebelum dihentikan pada jam 7.30 malam kerana keletihan dan disambung semula pada jam 9 malam.

“Memang kawasan itu gelap dan hanya berpandukan lampu suluh saja mencari beberapa tempat yang mungkin jadi ‘port’ Fairuz berehat tapi tak jumpa juga.

“Bila tak jumpa sampai esok dan seterusnya, barulah saya mengalah dan buat laporan polis di Balai Polis Bestari Jaya pada malam Isnin untuk dapatkan bantuan,” katanya.

Nampak kelibat abang sebelum hilang

Rasa tak sedap hati ibu mangsa selepas terlihat kelibat Fairuz pada petang Ahad itu rupa-rupanya petanda anaknya dilaporkan hilang.

Perkara itu diceritakan adik mangsa, Mohd Zaini Ibrahim, 26.

“Ibu tengah berehat di serambi rumah nampak abang lalu di halaman pada petang Ahad. Bila dipanggil dia tak menyahut.  Kata ibu, hatinya mula rasa tak sedap, jadi ibu pun minta ayah telefon majikan abang yang juga kenalan rapat keluarga.

“Kami sekeluarga terkejut bila dapat tahu rupa-rupanya abang hilang masa cari lembu dan saya pun cepat-cepat datang untuk bantu mencari.

“Tapi sampai sekarang masih tak jumpa. Memang kami bimbang keselamatan abang...dah enam hari dia tak jumpa, pasti dia lapar,” katanya.

Operasi temui jalan buntu

Ketua Balai Polis Serendah, Inspektor Syamsul Bahrin Ahmad menjelaskan, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dijalankan sebaik saja menerima laporan dari Balai Polis Bestari Jaya memandang kawasan aduan di bawah Serendah.

“Operasi dijalankan bermula petang Selasa sampai ke hari ini (semalam) dan turut menggunakan anjing pengesan K9 untuk menjejaki mangsa di kawasan hutan seluas tiga kilometer persegi bagaimanapun menemui jalan buntu.

“Pegawai dan anggota polis bersama bomba dan pasukan gerakan am (PGA) turut sama mencari mangsa bersama penduduk setempat namun dihentikan pada hari ini disebabkan masih gagal menemui sebarang petunjuk.

“Bagaimanapun penduduk kampung masih meneruskan pencarian mereka,” katanya kepada Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak yang hadir meninjau lokasi pencarian, semalam.

Dalam pada itu, menurut Sulaiman, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita kehilangan anak penduduk Kampung Sungai Yu itu dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga terbabit dan berharap mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

   

Kemaskini pada 2014-12-26 11:03:31 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page