Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : Niat pancing udang berakhir tragedi

Wartawan Sinar Harian II 09 September  2014
 
   

 

KUALA SELANGOR - Kegembiraan tiga kaki pancing untuk memancing udang di Jeti Kampung Tanjong Siam Baru, di sini berakhir tragedi apabila sampan yang dinaiki mereka terbalik akibat arus deras, kelmarin.

Mangsa yang juga peniaga kereta terpakai di Puchong, Abd Hakim Amir Yusof, 35, bersama rakan yang dikenali di kolam pancing, Jamaludin Abu, 55 dan Mohd Noor Ghazali, 30, menaiki satu sampan menyelusuri Sungai Selangor bersama 26 lagi kaki pancing.

                                                      Mayat Abd Hakim Amir dibawa ke jeti selepas ditemui pada jam 1.30 petang semalam.

Difahamkan, ketiga-tiga mangsa bersama rombongan kaki pancing yang datang dari Puchong itu menempah sembilan bot tiba di jeti itu pada jam 5 pagi sebelum menaiki sampan pada jam 8 pagi.

Bagaimanapun sampan yang dinaiki ketiga mangsa dikatakan terbalik kira-kira jam 11 pagi sebelum orang kampung dan nelayan setempat menghubungi pihak berwajib untuk bantuan.

Komander operasi yang juga Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Muhd Taib Ahmad berkata, polis menerima laporan kecemasan pada jam lebih kurang 11.44 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketiga-tiga mangsa menaiki satu sampan yang sama dan pada jam lebih kurang 11 pagi, sampan yang dinaiki mangsa terbalik lebih kurang satu kilometer dari jeti dipercayai berpunca daripada arus deras.

“Ketiga-tiga mangsa tidak dapat diselamatkan dan dipercayai lemas, misi mencari dan menyelamat diteruskan sehingga jam 11 malam manakala pegawai polis dan anggota bersiap sedia dan berjaga 24 jam di lokasi," katanya.

Menurutnya, operasi disambung pada jam 7 pagi semalam dan mayat Mohd Nor ditemui orang kampung kira-kira jam 7.40 pagi manakala mayat Jamaludin ditemui kira-kira 20 meter dari lokasi penemuan pertama selepas 20 minit kemudian.

“Manakala mayat Abd Hakim Amir ditemui berhampiran lokasi sampan terbalik kira-kira jam 1.30 petang dan ketiga mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat,” katanya.


Tersangkut di akar pokok

Saksi, Samsul Azhar Mahat, 33, berkata, dia bersama orang kampung yang juga nelayan membantu pasukan penyelamat mencari mangsa lemas di kawasan Sungai Selangor berhampiran Jeti Kampung Tanjong Siam Baru itu.

“Bila dapat tahu mereka lemas, saya dengan kawan-kawan pun pakat cari sampai malam.

“Bila malam susah nak cari sebab gelap jadi operasi pun sambung hari ini (semalam). Masa kami menyelusuri sungai, tiba-tiba saya nampak ada orang meniarap dan tersangkut di akar pokok.

“Kami pun jerit meminta bantuan. Tak lama selepas itu, mangsa kedua dapat ditemui tak jauh dari lokasi kami. Alhamdulillah kerja mencari selesai dan kami pun lega sebab dapat bantu,” katanya.


Panggilan, SMS tak berjawab

“Saya tak sangka panggilan dan SMS yang tak berjawab rupa-rupanya petanda suami pergi buat selama-lamanya,” demikian kata isteri mangsa lemas, Norhartini Abdullah, 37, kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sebelum kejadian dia cuba menghubungi suaminya, Abd Hakim Amir Yusof, 35, namun tidak berjawab dan tidak tahu menahu perancangan suaminya yang mahu pergi memancing.

“Kalau saya tahu memang saya larang sebab bimbang keselamatan dia, sebab dulu pun dia hanya pancing di kolam saja, tak pernah dia pergi pancing di sungai atau laut.

“Rasa nak pergi saja ke tempat kejadian tapi memikirkan anak-anak, saya terpaksa tahan perasaan. Saya pun baru sampai tadi dengan mak dan adik-adik, kami memang reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, isteri kepada seorang lagi mangsa lemas, Nor Azreen Jamaludin, 30, tidak menyangka permintaan suami yang mahu bersalam dengannya sebelum keluar rumah adalah kata-kata terakhir sebelum Mohd Noor Ghazali meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

Menurutnya, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik namun kata-kata “awak tak nak salam saya” sebelum suami pergi masih terngiang-ngiang.

“Saya tak sangka itulah kata-kata terakhirnya, permintaan mahu bersalam seolah-olah suami tahu yang dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.

Adik mangsa, Mohd Firdaus Ghazali, 26, berkata, dia juga tidak menyangka kesungguhan abangnya yang mahu mengajak semua adik-beradik berkunjung ke rumahnya Sabtu lalu untuk menjamu pulut durian adalah jamuan terakhir buat mereka.

“Saya masih tak percaya semua ini berlaku sebab kali terakhir kami jumpa, abang sempat bergurau dan bercakap mesra.

“Lagi sedih, bapa mentua abang yang ikut memancing sekali pun lemas,” katanya.

   

Kemaskini pada 2014-09-24 09:49:58 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page