Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : Jaga rayu gaji minimum RM900

Wartawan Sinar Harian II 17 Julai 2014
 
   

 

JERAM - Isu tuntutan pelarasan kadar gaji minima masih menyelubungi 45 pengawal keselamatan di 11 sekolah di daerah ini apabila mereka masih belum merasai nikmat perubahan gaji dari RM550 kepada RM900 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lebih mengecewakan, tuntutan kadar gaji minimum itu masih belum dapat dilaksanakan majikan dengan alasan mereka masih belum menerima bayaran penuh daripada kementerian berkaitan.

Pengadu, Suhaimi Idris, 45, berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri tahun lalu memberi satu kegembiraan kepada pekerja bawahan seperti pengawal keselamatan sekolah untuk menikmati gaji minima RM900.

“Masa itu memang seronok bila Perdana Menteri sendiri umum semua majikan swasta kena laksana kadar gaji RM900 untuk mengatasi isu gaji rendah dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

                Haslin menunjukkan slip gaji menggunakan kertas biasa berbanding slip gaji rasmi yang hanya diterima untuk tempoh enam bulan sahaja     Sebahagian pekerja memohon kadar gaji minima RM900 dilaksanakan segera.

“Tapi sampai sekarang kami masih diberi gaji lama dan bila isu kadar gaji minima dibangkitkan, mereka (majikan) mendakwa masih belum menerima bayaran penuh dan tersepit nak bayar gaji baharu.

“Kami jadi sedih dan kecewa, lebih-lebih lagi sekarang ini nak raya. Kena guna banyak duit untuk keluarga yang anak ramai tapi manalah orang nak nampak kesempitan hidup kami yang kerja sebagai pengawal keselamatan.

“Bila kami dengar tukang sapu dan tukang kebun sekolah dah tukar gaji baharu, lagilah kami tak sabar nak rasa nikmat yang sama tapi bila tanya, mereka kata tunggu, tunggu dan tunggu.

“Sampai bila kami nak tunggu? Mana cukup gaji RM550 sekarang nak tanggung keluarga, anak pun nak guna duit belajar. Terpaksalah kami pancing ikan untuk tambah pendapatan bila cuti,” katanya.

Suhaimi berkata, pihaknya berharap sangat kerajaan prihatin dengan nasib pengawal keselamatan sekolah di negara ini yang masih menanti dengan sabar untuk merasai perubahan gaji baru.

“Sebab masih ramai pengawal keselamatan sekolah di luar sana masih menanti perubahan gaji dan bukannya di Kuala Selangor saja...

"Memang kami mengharapkan kerajaan prihatin dengan isu ini sebab dah umum tahun lepas,” katanya.

Caruman tak selaras

Seorang lagi pengadu, Nazari Zainal Abidin, 51, berkata, selain isu gaji pihaknya turut berdepan masalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) oleh majikan yang tidak selaras dengan yang tertera dalam akaun.

“Saya akui memang baru kerja tujuh bulan dan masa mula-mula nak masuk kerja, soalan yang saya tanya adalah majikan tolak gaji untuk caruman KWSP dan Perkeso atau tidak? Bila mereka kata ada, saya pun terima kerja ini.

“Selang tiga bulan bekerja, saya tergerak hati nak periksa dalam akaun tapi tak ada. Bila dapat surat pengesahan jawatan pun saya periksa duit caruman KWSP dan Perkeso masih belum masuk.

“Sedangkan dalam slip gaji dah tolak siap-siap, bukan saya sorang saja yang berdepan masalah ini tapi ramai lagi. Bila ajukan masalah kepada Jabatan Buruh pada April lalu barulah majikan mula masukan caruman dalam akaun,” katanya.

Seorang lagi rakannya, Haslan Baba, 49, mengakui dia juga mempertikai bentuk slip gaji yang diterima sekarang ini hanya sekadar kertas putih yang dicetak bukannya slip gaji rasmi yang tertera nama majikan.

“Saya pelik bila hanya terima slip gaji rasmi dalam tempoh enam bulan pertama saja dan selepas itu, hanya terima kertas putih yang dicetak terus dari komputer dengan tertera nilai gaji asas dengan elaun, jumlah kerja lebih masa.

“Sepatutnya slip gaji ini kena sulit tapi yang kami terima hanya sekeping kertas putih saja. Lagipun, memang selalunya slip gaji dapat lambat,” katanya yang mengakui penerimaan gaji setiap bulan tidak mempunyai masalah.

Tanggungjawab majikan selesaikan: Timbalan Menteri

Sementara itu mengulas lanjut mengenai tuntutan pelarasan gaji minimum RM900, Timbalan Menteri Pendidikan II,  P.Kamalanathan menjelaskan, masalah ini perlu diselesaikan syarikat keselamatan yang dilantik terlebih dahulu.

“Masalah pengawal keselamatan masih tak terima gaji minima RM900 perlu dirujuk kepada majikannya dan bukannya terus kepada kerajaan.

"Pihak konsesi sekuriti harus memastikan mereka mampu menyelesaikan tuntutan pelarasan gaji pengawal keselamatan yang merupakan pekerja mereka dan bukannya tanggungjawab kerajaan,” katanya.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kadar gaji minimum kebangsaan bagi sektor swasta sebanyak RM900 sebulan atau RM4.33 sejam untuk Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan pula pada paras RM800 atau RM3.85
sejam.

Katanya, gaji minimum yang akan berkuat kuasa enam bulan dari tarikh  perintah gaji minimum diwartakan itu akan meliputi semua pekerja termasuk pekerja asing dalam semua sektor ekonomi kecuali perkhidmatan domestik seperti pembantu rumah dan tukang kebun.

“Satu mekanisme juga akan disediakan supaya pelaksanaan gaji minimum tidak membebankan majikan dan merugikan pekerja dengan membenarkan penyerapan sebahagian elaun atau bayaran tunai tetap dalam perkiraan gaji minimum.

"Dalam usaha menangani isu gaji rendah dan kos sara hidup yang meningkat bagi pekerja sektor swasta, kerajaan pada prinsipnya bersetuju agar gaji minimum peringkat kebangsaan dilaksanakan.

"Langkah ini amat bertepatan sekali, memandangkan kerajaan juga telah meningkatkan gaji sektor awam antara tujuh hingga 13 peratus seperti yang diumumkan baru-baru ini," katanya.

   

Kemaskini pada 2014-07-22 12:34:57 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page