Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : Dedah tender pasir dalam Sidang Dun

Wartawan Sinar Harian II 19 Jun 2014
 
   

 

BESTARI JAYA  - Kerajaan negeri digesa mendedahkan dokumen berkaitan tender pasir dikeluarkan anak syarikatnya menerusi pelaksanaan projek Hybrid off River Augmentation System (Horas) dalam Sidang Dun yang bermula Isnin lalu.

Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak berkata, pelbagai pertikaian timbul apabila anak syarikat kerajaan negeri itu berkuasa penuh dalam pengeluaran permit pasir dan tender sedangkan sebelum ini kuasa itu hanya diberikan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor sahaja.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan penduduk berikutan gerak kerja perlombongan pasir di tapak projek Horas juga menimbulkan banyak tanda tanya selepas lori pasir keluar masuk tanpa mengira waktu.

                                                      Pasir yang dilonggokkan sebelum diangkut lori.

“Mereka kerja tak kira siang dan malam keluarkan pasir dan keadaan itu menimbulkan kacau ganggu penduduk apabila lori yang membawa muatan pasir keluar pada waktu malam sehingga mengundang bahaya kepada mereka.

“Itu belum kira operasi yang dilakukan sehingga lewat malam...jika benar operasi dilakukan mengikut syarat ditetapkan, kenapa sehingga lewat malam aktiviti mengorek pasir giat dijalankan?

“Kita bimbang aktiviti curi pasir berselindung di sebalik pelaksanaan projek Horas ini dan kerajaan negeri kena jelaskan perkara ini dengan lebih terperinci di Sidang Dun nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Sulaiman berkata, laporan berkaitan dan dokumen tender perlu didedahkan kepada umum bagi membuktikan kerajaan negeri telus menjalankan projek Horas yang dikatakan mampu membantu mengatasi krisis air di Selangor.

“Desakan ini dibuat kerana kerajaan negeri sering melaungkan ketelusan dan kredibiliti pentadbiran dan tak salah kalau dokumen berkaitan permit pasir didedahkan di Sidang Dun.

“Rakyat pastinya mahu tahu kenapa keistimewaan diberikan kepada anak syarikat itu sehingga diberi kuasa penuh terhadap kerja melombong pasir di Sungai Darah dan bukannya kepada pentadbir tanah,” katanya.

Aduan aktiviti mencurigakan

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Rantau Panjang, Rahim Mohd Yatim, 55, berkata, pihaknya sedia maklum kewujudan projek Horas yang dilaksanakan di tanah seluas 235 hektar di Sungai Darah itu.

“Memang tak nafikan, lori banyak keluar masuk dari jalan berhadapan masjid sehingga menimbulkan masalah kepada jemaah menggunakan laluan sama menunggang motosikal.

“Selain berdepan masalah habuk dan titisan air pasir, penduduk meragui kerja melombong pasir di kawasan itu yang dilihat tak kira masa sehingga lewat malam..keadaan itu menimbulkan keraguan.

“Kenapa kena kerja sampai lewat malam? Hujung minggu pun banyak lori keluar masuk...saya juga bimbang keselamatan anak penduduk bila tengok lori yang membawa muatan pasir melalui kawasan ini,” katanya.

Penduduk, S Muniandy, 40, berkata, dia juga bimbang keselamatan anaknya ke sekolah yang menunggang basikal untuk ke sekolah di pekan Bestari Jaya apabila melihat banyak lori pasir menggunakan jalan sama.

“Dulu lori tak banyak seperti sekarang..kadang-kadang saya bimbang keselamatan anak yang menunggang basikal ke sekolah pada waktu pagi sebab lori pasir pun lalu waktu sama.

“Kalau boleh, lori itu keluar ikut masa lah macam waktu kerja sebab hari-hari saya tengok lori pasir lalu lalang..dulu masa cuti sekolah tak bimbang sangat sebab anak duduk rumah tapi sekarang hati banyak runsing,” katanya.

Analisis air kena telus

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata, sebelum ini pihaknya turut membawa usul supaya kerajaan negeri lebih telus mendedahkan laporan analisis air lombong yang dikatakan selamat kepada umum dengan lebih terperinci.

“Walaupun Menteri Besar memberi pelbagai jaminan bahawa air lombong itu selamat tapi rakyat Selangor berhak untuk mengetahui sejauh mana sumber air daripada projek Horas itu selamat untuk diminum.

“Kita mahukan penjelasan terperinci dan dedah semua laporan kepada umum sebab tak mahu kesihatan rakyat terancam,” katanya ketika ditemui di lokasi projek Horas di Sungai Darah.

Adun Sungai Burong itu berkata, pelbagai persoalan timbul apabila kerajaan negeri membangkitkan cadangan untuk menggunakan air lombong sebagai alternatif sumber air mentah di Selangor.

“Saya lihat, keputusan kerajaan negeri mengepam air di kawasan bekas lombong masuk ke dalam empangan adalah langkah terdesak selepas bantahan penduduk terhadap isu catuan air sebelum ini.

“Kita sebagai Adun BN mahu check and balance dan tidak mahu keegoan kerajaan negeri yang sebelum ini menolak projek Langat 2 sehingga menyebabkan rakyat merana akibat krisis air di Selangor,” katanya.

  

Kemaskini pada 2014-06-24 15:14:27 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page