Wartawan Sinar Harian II 06 Februari 2014
|
JERAM - “Walaupun bukan kedai saya tapi saya tahu betapa susahnya pakcik itu cari duit nak baik pulih kedai makannya yang usang dek dimamah anai-anai yang menjadi satu-satunya punca rezeki dia.
“Lagi sedih, operasi roboh itu dibuat ketika pakcik tiada di rumah..sudahlah dia ada penyakit jantung,” kata penduduk, Haslinda Baharudin, 39, yang tidak berpuas hati terhadap operasi yang dijalankan di Jalan Pantai Sungai Sembilang, di sini semalam.
Menurutnya, dia sedih melihat kedai makan yang diusahakan jirannya itu dirobohkan sekelip mata dan menyifatkan tindakan penguatkuasa itu terlalu ‘keras’ terhadap penduduk.
“Berderau darah bila tengok ramai orang MDKS datang bersama jentera backhoe merobohkan kedai makan yang bersebelahan simpang jalan dan ramai penduduk tidak berpuas hati dengan tindakan itu.
“Kenapa perlu dirobohkan sedangkan tak ganggu jalan pun..lagipun pakcik itu berniaga tak sampai malam pun. Bila tengok kedai makan itu dirobohkan, hancur hati saya.
“Banyak lagi kedai atau warung makan yang dibina di atas tanah rizab kerajaan termasuk warga asing di kawasan ini..kalau betul-betul telus, kenapa mereka tidak merobohkan semua yang ada?,” soalnya.
Haslinda berkata, hatinya juga runsing apabila memikirkan nasib penduduk di kawasan itu yang turut berdepan masalah tanah dan tidak mustahil nasib yang menimpa jirannya itu akan dihadapinya kelak.
“Mungkin bukan sekarang tapi kita tak tahu nasib pada masa depan..saya bayangkan kedai makan itu seolah-olah rumah saya yang dirobohkan dan mungkin mereka tak faham perasaan kami yang duduk di sini.
“Melayu nak berniaga pun cukup susah jika nak dibandingkan dengan bangsa lain. Bila kita mahu berniaga sikit, mereka halang kerana tiada lesen tapi bila nak mohon lesen dikatakan permohonan dibekukan.
“Bagaimana kami nak maju kalau asyik dihalang karenah birokrasi seperti ini? Saya pun putus asa bila nak berniaga terpaksa berdepan pelbagai karenah dan akhirnya sekadar mengambil upah kupas kulit kerang saja di rumah,” katanya.
Kasihan nasib kawan
Penduduk, K Maniam, 54, pun sedih apabila melihat kedai makan milik kawan rapatnya itu dirobohkan sekelip mata dan pastinya selepas ini terkapai-kapai mencari punca pendapatan lain.
“Saya sudah kenal pemilik kedai ini yang juga penduduk di kawasan ini cukup lama..dia pun ada minta bantuan kewangan untuk baik pulih kedainya yang semakin usang dek dimakan anai-anai.
“Tapi saya tidak punya wang dan bila dapat tahu dia ada buat pinjaman dengan ceti, saya pun terkejut. Hasil pinjaman itu ‘musnah’ bila kedai yang ingin dibina baru dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sepatutnya bincang dulu..jangan main roboh saja. Saya pun kasihan bila dia tiada di rumah sebab melawat anaknya sakit..mungkin kawan itu terkejut besar bila tengok kedai makan ‘hilang’,” katanya.
Maniam berkata, banyak lagi PBT boleh buat operasi yang lebih bagus daripada merobohkan punca pendapatan orang kampung termasuk menutup premis judi yang ada di kawasan ini.
“Lebih baik mereka tutup premis judi yang ada di kawasan ini dan bukannya merobohkan kedai makan yang menjadi punca rezeki penduduk yang bukannya kaya pun,” katanya sebak.
Tindakan tegas sebagai pengajaran
Sementara itu, Arkitek Jabatan Kawalan Bangunan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Saleha Md Arif menjelaskan, tindakan tegas itu diambil berikutan notis untuk mengosongkan tapak gagal dipatuhi.
Menurutnya, sebelum ini Jabatan Kawalan Bangunan MDKS sudahpun menyerahkan notis bagaimanapun pemilik didapati masih meneruskan kerja pembinaan struktur kekal.
“Sudah menjadi kesalahan apabila mana-mana individu yang membina struktur kekal termasuk binaan batu bata bagi menggantikan struktur sementara yang sebelum ini adalah kayu di tanah rizab kerajaan.
“Tindakan pemilik gerai makan itu yang membina struktur baru itu seolah-olah dilihat mahu menjadikan tapak kedai sebagai milikan sendiri sedangkan itu tanah rizab kerajaan.
“Bagi mengelakkan tanah rizab kerajaan diceroboh untuk tujuan itu, MDKS perlu mengambil tindakan tegas sekali gus sebagai pengajaran kepada individu lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada Operasi Bersepadu MDKS bersama Pejabat Tanah Daerah Kuala Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kawasan Kuala Selangor.
|
|
Kemaskini pada 2014-02-11 09:40:14 daripada Administrator