Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

Berita : ' Tolong Pulangkan Anak Saya '

Wartawan Sinar Harian  II  01 Januari 2014
 
   
  KUALA SELANGOR - “Saya runsing dengan keselamatan anak yang dilarikan suami lebih empat hari... sebab dia ada sakit dalam perut, kalau lambat beri ubat mungkin dia akan sakit teruk,” kata seorang mangsa dera, Sanjana (bukan nama sebenar), 30, kepada Sinar Harian semalam.

Lebih dibimbangkan katanya, anak yang baru berusia tiga tahun itu dirampas dalam pelukan ketika bergelut dengan suami dipercayai turut berdarah di bahagian tangan dan badan akibat terkena serpihan kaca pintu yang dipecahkan dalam kejadian Ahad lalu.

“Saya pun kena tetak di tangan ketika bergelut dengan suami yang melompat pagar berkunci sebelum memukul ibu yang sudah tua di bahagian muka dan tangan... malah jarinya hampir putus akibat ditetak dengan senjata tajam.

“Masa itu, saya hanya mampu lihat anak dibaling seperti bola sebelum disambut rakan suami yang juga seorang anggota tentera berada di luar pagar rumah. Hati saya luruh mendengar tangisan anak yang tak henti-henti sebelum dibawa lari menaiki sebuah kereta,” katanya.

Sanjana berkata, jiran yang mendengar kekecohan itu pun tak berani menolong kerana suaminya mengamuk dan bersenjata.

Katanya, selepas mereka hilang dari pandangan, barulah jiran-jiran berani menjenguk.

                                                        'Tolong pulangkan anak saya...'
                         
“Ketika itu, baru saya rasa pedih di bahagian tangan yang berdarah manakala ibu lebam teruk di bahagian muka manakala satu jari kirinya turut berdarah akibat terkena tetakan senjata sama.

“Dengan tangan berdarah dan badan sakit-sakit, saya terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kuala Selangor untuk membuat laporan kerana bimbang keselamatan anak sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang,” katanya yang menerima 14 jahitan.

Kena ugut setiap malam

Sanjana berkata, setiap malam pasti ada panggilan telefon yang mengugutnya supaya menarik balik laporan polis dibuat jika mahu keselamatan anaknya terjamin selepas suaminya berjaya ditahan reman polis IPPD Kuala Selangor.

“Saya diugut jika mahu anak selamat, saya mesti tarik balik laporan polis. Saya jadi bingung dan mahu melihat anak jika betul dalam genggaman mereka sebab jika mereka tipu pun saya tidak tahu.

“Kenapa mereka buat saya begini sedangkan saya punya hak penjagaan yang sah terhadap anak tunggal itu dan turut menerima perintah pelindungan interim di bawah akta keganasan rumah tangga.

“Malah saya punya bukti akujanji yang ditandatangani pihak atasan majikan suami yang mahu bertanggungjawab sekiranya suaminya langgar perjanjian tetapi lain pula sekarang... kertas ini seolah-olah tidak laku kerana mereka sewenang-wenangnya tak ambil peduli.

“Bila anak di bawah jagaan saya, mereka sibuk kata buat surat... jumpa mahkamah untuk perlindungan dan buat laporan polis... bila anak dilarikan dan disembunyikan entah di mana, mereka masing-masing berdiam diri sahaja,” katanya ketika menemui Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Permatang, S Manikavasagam lewat petang semalam.

Lebih 20 laporan polis dibuat

Adiknya, Pathma (bukan nama sebenar), 28, berkata, sebelum ini sudah lebih 20 laporan polis dibuat selepas setahun kakaknya berkahwin dengan lelaki yang menganggotai pasukan tentera udara itu pada 2009 lalu.

“Kakak selalu mengadu kena kurung, kena pukul tanpa sebab dan anaknya pernah dilarikan suami ketika usianya baru lapan bulan selepas kakak mahu menuntut cerai selepas tak tahan menjadi mangsa dera.

“Bila kena pukul hari-hari siapa boleh tahan? Saya kasihan tengok kakak bengkak muka dan badan akibat dipukul gara-gara cemburu dan sikap panas baran tanpa sebab.

“Bila tuntut cerai, lelaki itu larikan anak sampai ke sempadan Thailand kerana tidak mahu kakak lari. Macam mana nak lari bila kena kunci dari luar dan tak boleh nak hubungi sesiapa?

“Bila kakak berjaya lari dan bermalam di rumah mak, dia datang bersama rakan dan pecah masuk ke dalam rumah ketika saya pergi kerja. Ibu yang tua pun sanggup dipukul inikan pula anak yang masih kecil.

“Saya juga bimbang keselamatan anak saudara itu entahkan hidup atau mati sebab tak tahu langsung lokasi disembunyikan. Polis kata masih dalam proses risikan menyebabkan kami tak tidur lena,” katanya.

Sementara itu, Manikavasagam terkilan dengan nasib yang menimpa penduduk itu memandangkan sebelum anaknya dilarikan, mangsa dera itu pernah datang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan.

“Saya juga terkejut apabila menerima panggilan daripada wanita itu yang memaklumkan anaknya dilarikan dan berharap pihak polis dapat mencari anaknya dengan kadar segera.

“Kita juga bimbang sebab anak kecil itu tidak sihat dan jika tiada rawatan, mungkin berdepan masalah. Saya juga berharap kementerian berkaitan pandang serius masalah keganasan rumah tangga ini melibatkan penjawat awam,” katanya.
 

Kemaskini pada 2014-01-13 13:39:08 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page