PERHIMPUNAN PAGI PEJABAT DAERAH/TANAH KUALA SELANGOR BULAN OKTOBER 2009 DAN MAJLIS JAMUAN HARI RAYA AIDILFITRI 1430H/2009M
Kuala Selangor, 14 Oktober 2009 (Rabu) - Satu majlis perhimpunan pagi bersama warga kerja Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor telah diadakan di perkarangan Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor. Perhimpunan yang bermula pada jam 8.00 pagi telah dipengerusikan oleh Unit Pelupusan Tanah. Majlis dimulakan dengan bacaan doa, bacaan ikrar dan diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor serta lagu Selangor Bergerak Maju oleh semua kakitangan Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor. Pada perhimpunan tersebut, Tuan Pegawai Daerah telah menyampaikan ucapan berkenaan dengan ibadah puasa. Maksud puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum termasuk melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Antara hikmahnya ialah membersihkan diri daripada melakukan dosa. Selain itu, Tuan Pegawai Daerah juga menyentuh mengenai beberapa perkara seperti bencana alam yang berlaku di negara jiran baru-baru ini. Seterusnya, antara aktiviti yang berlangsung semasa majlis tersebut adalah aktiviti Menghias Gerai paling cantik dimana beberapa gerai telah dipertandingkan yang diwakili oleh setiap unit. Mereka menghias gerai masing-masing mengikut kreativiti tersendiri. Antara unit yang terlibat ialah Unit Pentadbiran dan Kewangan, Unit Pembangunan Masyarakat, Unit Teknikal dan Penguatkuasaan, Unit Pendaftaran Tanah, Unit Pembangunan Tanah, Unit Pelupusan Tanah dan Unit Hasil. Setiap gerai telah menyediakan pelbagai jenis juadah seperti lemang, ketupat, rendang, kuih raya, buah-buahan, satay dan sebagainya sempena majlis tersebut. Disamping itu, kumpulan ghazal turut diundang untuk menghiburkan para jemputan yang hadir sambil menikmati juadah aidilfitri yang telah disediakan khas pada majlis tersebut. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah dan majlis bersurai kira-kira jam 1.00 petang. |
Kemaskini pada 2013-10-24 11:55:27 daripada Administrator