Wartawan Sinar Online II 26 FEBRUARI 2021
KUALA SELANGOR - Tular dua rakaman video memaparkan lambakan bungkusan barang sebuah syarikat kurier ditemui di tempat pembuangan sampah berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuching Tengah di sini sejak Selasa.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Tengah, Saharudin Zam Zam berkata, kejadian pembuangan bungkusan itu mula dikesan di kampung itu pada Isnin lalu.
Saharudin berkata, beliau mengetahui terdapat longgokan di tempat pembuangan sampah selepas seorang rakannya memuat naik status di Facebook kira-kira jam 5.30 petang.
"Bagaimanapun, lambakan bungkusan terbabit kemudiannya dibakar pihak tidak bertanggungjawab pada pagi Selasa," katanya.
Menurutnya, beliau tidak mengetahui sama ada bungkusan terbabit mengandungi barangan pelanggan atau bungkusan kosong yang sengaja dibuang.
"Semuanya dalam keadaan berbungkus dan saya tidak tahu motif pihak terbabit sama ada bungkusan yang dibuang itu ada unsur sabotaj atau khianat pihak lain," katanya.
Katanya, beliau kemudian menghubungi syarikat kurier dan bertemu sendiri dengan kakitangan syarikat kurier di pejabat cawangan berhampiran.
"Mereka (kakitangan) memaklumkan bungkusan dan guni yang ditemui itu bukan milik mereka.
"Saya juga tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tersebut," katanya. |
Kemaskini pada 2021-02-26 11:46:01 daripada Administrator