Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
logo-jata
Laman Web Rasmi

PEJABAT DAERAH / TANAH KUALA SELANGOR

cekap, telus dan mesra

 

w3c

faq-img

Soalan
Lazim

hubungi-kami

Hubungi
Kami

maklumbalas

Aduan &
MaklumBalas

peta-laman

Peta
Laman

BERITA : 'Air mata saya berguguran sejurus pangku jenazah anak'

Wartawan Sinar Online II  28 JULAI 2020

 
       

IJOK - [DIKEMASKINI] "Air mata saya berguguran sejurus memangku jenazah anak. Dia sepatutnya mendaftar di Kolej Komuniti Selandar, Melaka sebelum ditimpa kemalangan itu," luah bapa kepada seorang penunggang motosikal yang maut dipercayai digilis kenderaan berat sebelum motosikalnya diseret sebuah kereta lain sejauh 60 meter dalam kejadian di Kilometer 14.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), tengah malam tadi.


Zalkafli Hamin Hamjah, 60, berkata, Allahyarham Muhammad Izdi Affan Zalkafli, 18, sepatutnya mendaftar di Kolej Komuniti Selandar, Melaka, pada 4 Ogos depan untuk mengikuti kursus peringkat sijil bagi program komputer dan rangkaian.

 

"Allahyarham sudah membuat persiapan dan dia sepatutnya melengkapkan beberapa dokumen penting termasuk menjalani saringan pemeriksaan kesihatan pada petang hari kejadian," katanya ketika ditemui Sinar Harian.


Mengimbas kembali saat dia sempat berbual-bual dengan Muhammad Izdi Affan, lelaki itu berkata, beberapa kata-kata disebut anaknya masih teringat-ingat dalam fikirannya.

 

"Saya ada beritahu dengan arwah, kalau dia sambung belajar saya pasti berasa sunyi di rumah. Kemudian arwah membalas dengan mengatakan kepada saya, bahawa dia hanya seminggu di sana (kolej), bukan lama.

 

"Sampai sekarang saya masih terngiang-ngiang kata-katanya sebab saya tidak faham maksud seminggu di sana sama ada dia akan balik ke rumah semula selepas mendaftar di kolej atau dia seolah-olah tahu dia akan pergi buat selamanya-lamanya," katanya.

 

Zalkafli yang menetap di Batu 8 Ijok berkata, meskipun reda dengan ketentuan-Nya, namun jauh di sudut hati tetap berasa sedih dengan kehilangan anak bongsu daripada lima beradik itu yang disifatkan sebagai seorang anak yang baik, mendengar kata serta bertanggungjawab.

 

"Arwah seorang anak yang mendengar kata, tidak melawan dan cepat membantu jika saya meminta pertolongan," katanya.

 

Menurutnya, sebelum kejadian, Allahyarham Muhammad Izdi memaklumkan ingin ke Shah Alam bersama rakannya.

 

"Saya dimaklumkan arwah sempat singgah menjamah empat bungkus nasi lemak yang dikongsi bersama 10 rakannya yang lain di Seksyen 13 Shah Alam," katanya.

 

Katanya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas beberapa rakan Allahyarham Muhammad Izdi bertandang ke rumahnya kira-kira jam 11.45 malam tadi.

 

"Saya dimaklumkan anak terbabit dalam kemalangan tapi sejauh mana keadaannya tidak diketahui.

 

"Saya kemudian bersama isteri terus bergegas ke lokasi kejadian sambil tidak putus berdoa agar anak kami selamat," katanya.

 

Bagaimanapun Zalkafli berkata, luluh hatinya sebaik tiba di tempat kejadian selepas mendapati jenazah arwah anaknya terbaring kaku di atas jalan raya.

 

"Air mata saya berguguran sejurus memangku jenazah anak dan terasa sebak kerana dia sudah pergi buat selamanya-lamanya," kata lelaki itu sambil menahan sebak.

 

Zalkafli memberitahu, jenazah Allahyarham Muhammad Izdi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 Ijok pada jam 10.30 pagi tadi.

 

"Tentunya kami sekeluarga berasa sunyi terutama hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sambutan Aidiladha.

 

"Apa pun kami tetap pasrah dengan ketentuan Ilahi dan berdoa agar dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

 

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis dalam kemalangan di Kilometer 14.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) di sini.

 

Kejadian jam 12.55 tengah malam itu mengakibatkan Muhammad Izdi meninggal dunia di tempat kejadian.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/94248/EDISI/Selangor-KL/Air-mata-saya-berguguran-sejurus-pangku-jenazah-anak
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


Kemaskini pada 2020-07-28 12:34:08 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page